Perdana Menteri Datuk Seri Najib bersungguh-sungguh dalam merealisasikan sebuah masyarakat yang hidup dalam perpaduan menerusi konsep 1Malaysia.
Kerajaan juga sibuk mempromosikan kepada rakyat menerusi radio, televisyen dan media massa lain tentang kepentingan perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum. Tapi apa yang berlaku kini tak seperti apa yang dijangkakan.
Rakyat seharusnya diberi pemahaman yang sewajarnya terlebih dahulu oleh pemimpin tentang konsep 1Malaysia ini. Jika rakyat tidak memahami maksud dan tujuannya, rakyat akan terus bertelagah memperjuangkan nasib bangsa sendiri.
Dato’ Onn Jaafar pernah gagal beberapa kali apabila beliau cuba membawa rakyat untuk hidup bersatu-padu. Beliau cuba membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu tapi ditentang keras oleh orang Melayu. Kemudian Dato’ Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara untuk tujuan perpaduan namun masih gagal.
Apakah begitu sukar untuk mengecapi perpaduan? Dato’ Onn Jaafar telah beberapa kali gagal menyerap nilai perpaduan di kalangan rakyat. Apakah kali ini, konsep 1Malaysia yang diketengahkan oleh Datuk Seri Najib akan berjaya?
Saya bukan ingin mempertikaikan konsep ini. Namun pemimpin harus dahulu menyelami jiwa rakyat. Duduklah semeja dengan mereka. Minum kopi yang mereka minum. Berbuallah dalam cara mereka. Tak jatuh pun martabat seorang pemimpin sekiranya dilihat bersama-sama rakyat di warung kopi tempat mereka selalu ‘lepak’. Yang penting matlamat tercapai apabila pemimpin berjaya menyerap nilai perpaduan di dalam jiwa rakyat. Gunalah pendekatan yang sesuai bagi setiap lapisan masyarakat agar mereka memahami dengan ikhlas konsep 1Malaysia ini.
Apa yang berlaku di Seksyen 23, Shah Alam apabila penduduk Melayu menentang pembinaan kuil di kawasan itu dan masyarakat India pula mempersoalkan isu azan, inilah peluang terbaik kerajaan menyerapkan isu perpaduan di kalangan mereka. Turun padang dan memahami situasi mereka. Tak kiralah kawasan tersebut di bawah kepimpinan pembangkang atau tidak, nilai perpaduan tidak mengira parti apa yang memimpin. Nama pun 1Malaysia, jadi perpaduan harus diserapkan dalam jiwa rakyat.
Apalah sangat nilai politik apabila ia melibatkan perpecahan rakyat antara kaum. Tak salah sekiranya pemimpin melupakan sekejap perbezaan pendapat dalam politik. Yang penting krisis pembinaan kuil ini dapat diselesaikan atas dasar 1Malaysia.
Mungkin sebelum menerap nilai perpaduan di kalangan rakyat, para pemimpin sendiri harus menerap nilai perpaduan sesama mereka agar mereka sendiri faham apa erti perpaduan agar rakyat lebih menjiwai konsep 1Malaysia.
Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Jangan biarkan peristiwa 13 Mei berulang kembali. Semuanya tergantung pada visi dan matlamat pemimpin itu sendiri. Fikirkanlah wahai pemimpin yang disayangi.

No comments:
Post a Comment