
Beberapa hari kebelakangan ni, media tempatan dan seberang begitu asyik menyiarkan berita-berita mengenai AFF Suzuki Cup dimana Malaysia berdepan Indonesia untuk pusingan akhir. Ada yang berbentuk fakta dan tak kurang juga yang berbentuk provokasi.
Kita semua sudah maklum, Malaysia dan Indonesia merupakan dua buah negara yang banyak berkongsi kebudayaan dan tradisi. Bukan Indonesia dan Malaysia je. Tapi Brunei dan Singapura pon memiliki kebudayaan dan tradisi yang sama. Contoh paling mudah, keempat-empat negara ni masih menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu Bahasa Melayu. Dialek atau sebutan mungkin berbeza dari setiap negara tapi masih boleh difahami oleh negara yang lain. Kenapa persamaan ni tak dijadikan semangat setia kawan sebaliknya permusuhan yang terjadi.
Final AFF Suzuki Cup antara Malaysia dan Indonesia memang ditunggu-tunggu. Kenapa match ni ditunggu-tunggu? Sebab semua orang pon dah tau pasti akan tercetus drama atau sinetron yang boleh diperbesar-besarkan dan dijual. Memang lumrah manusia suka kan drama. Busuk hati, dengki khianat tu semua memang da tertulis dalam satu babak. Dan yang buruk tu lah yang biasanya menjadi kesukaan orang. Sedangkan perkara lebih penting yang patut dirisaukan, tidak diendahkan.
Facebook, Twitter, Youtube dan forum-forum dipenuhi dengan caci-maki, saling menghina antara satu sama lain, masing-masing cuba menegakkan benang yang basah. Apalah gunanya kan kita saling menghina. Sebab dah ternyata kita merupakan keluarga dan berasal dari keturunan yang sama. Jangan menafikan asal-usul orang Malaysia yang kebanyakkan datang dari Indonesia. Dan jangan pula menidakkan fakta bahawa orang-orang Indonesia terpaksa berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki yang lebih baik.
Buktinya, saya merupakan anak orang Indonesia yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Ya, saya bangga mempunyai darah Indonesia mengalir dalam badan. Tapi pada masa yang sama saya bangga dan berterima kasih kepada Malaysia kerana telah memberikn kehidupan yang lebih baik kepada kami semenjak kedua orang tua saya berhijrah ke sini.
Oleh kerana kedua orang tua saya memang berasal dari Indonesia, maka sedikit sebanyak, kami mengamalkan tradisi dan budaya Indonesia. Adakah itu pon dipanggil mencuri? Tapi saya berpijak pada bumi yang nyata bahawa tanah Malaysia la yang telah memberi saya makanan yang baik, pendidikan yang cukup serta kemudahan yang sempurna. Saya mungkin tidak memiliki apa yang saya miliki sekarang kalau keluarga saya masih menetap di Indonesia.
Sesungguhnya saya malu membaca kata-kata makian yang dilemparkan antara satu sama lain. Bila baca tulisan orang Indonesia, saya berfikir "inikah sebahagian darah yang mengalir dalam badan ku?". Bila baca tulisan orang Malaysia, saya berfikir "inikah nilai-nilai yang diajar di sekolah dulu?". Sampaikan saya berfikir lebih baik saya jadi orang asing yang hanya ketawa melihat gelagat dan kebodohan dua rumpun ni.
Apabila menulis blog ni, saya dengan bangga mengaku bahawa saya merupakan anak Malaysia. Bukan tak sedar diri atau lupa asal usul, tapi hakikatnya saya memang anak kelahiran Malaysia. Pada saat ini, saya mengharapkan Malaysian football team akan pulang membawa trophy khamis ni. Tapi saya juga mengharap saya tak perlu malu untuk menyokong mana-mana team pon sekiranya penyokong kedua-dua team adalah tergolong dari manusia-manusia yang bertamadun.
p/s: jangan sampai sukan ni jadi haram oleh kerana ketaksuban manusia!

No comments:
Post a Comment